PolitiK DaN PemikiraN StrategiK...
Wednesday, December 22, 2010
Untuk mengambil alih kuasa bukan sesuatu yang mustahil. Sejarah telah menunjukkan tentang satu gerakan Pak Tani berbaju hitam - yang sering diperlekeh oleh media Barat – tetapi telah berjaya mengalahkan tentera Amerika Syarikat pada tahun 1975. Pada tahun 2006 satu lagi kuasa bala tentera yang tercanggih dan terkuat di Timur Tengah telah dialahkan oleh anak anak muda dan Pak-Pak Lebai yang bergerila di Selatan Lebanon.
Apa yang ada pada Vietcong? Apa yang ada pada gerakan Hezbollah di Lebanon? Apa kekuatan mereka? Kalau dikaji selidik maka kita akan mendapati bahawa politik mereka bergerak melalui pemikiran strategik.
Jangan salah anggap. Pemikiran strategik ini bukan hanya bersabit dengan perang atau kuasa politik. Hukum dan syarat pemikiran strategik yang sama boleh diguna pakai dalam hal perniagaan dan jual beli. Malah dalam semua hal kehidupan harian, kita memerlukan pemikiran strategik.
Justeru , jika ada sesiapa yang berani untuk mengambil alih kerajaan - keberanian sahaja tidak mencukupi. Kudrat dan tenaga kerbau tidak diperlukan sepanjang masa. Apa yang diperlukan ialah taktik dan strategi. Apa yang diperlukan ialah pemikiran strategik. Untuk mendapat sokongan orang ramai sebuah parti politik memerlukan lebih dari jeritan – Reformasi atau Takbir!
Dalam usaha gigih sebuah gerakan atau sebuah parti politik untuk mengambil alih kuasa ianya memerlukan garis politik yang tepat. Semua perjuangan memerlukan sahabat dan kawan. Ada sahabat berjangka pendek ada sahabat berjangka panjang. Ada setiakawan sementara dan ada setiakawan sepanjang masa. Ini hakikat perjuangan. Ini adalah taktik dan strategi untuk mengambil alih kuasa. Ini realpolitik – politik yang dieja dengan huruf K.
Untuk mendapat sokongan orang ramai sebuah parti politik wajib menghebohkan dasar yang ingin diajukan kepada orang ramai. Dasar-dasar ini wajib dilihat masuk akal dan berdiri di bumi yang nyata. Bukan dasar yang berterbangan dilangit atau di awang-awangan. Janji-janji yang tidak masuk akal akhirnya akan menjerut leher sendiri. Inilah politik – inilah hakikat realpolitik.
Hari ini telah terpadu satu perikatan tiga buah parti politik - PKR- PAS dan DAP. Munculnya Pakatan Rakyat bukan kerana harga ayam di pasar Chow Kit naik harganya. Atau kerana sotong makin berkurangan untuk dicandat di Kuala Terengganu. Setiakawan Pakatan Rakyat lahir kerana hukum dan syarat realpolitik dalam negara kita ini.
Kelahiran Pakatan Rakyat adalah hasil dari pemikiran strategik yang memahami asas budaya dan politik tanah air. Kesedaran untuk memahami cita-cita dan harapan anak semua bangsa dalam negara ini adalah wajib. Warga dari pelbagai agama dan anak semua bangsa memerlukan perikatan dan kerjasama untuk mengambil alih kuasa.
Justeru, realpolitik di Malaysia ini telah melahirkan syarat bahawa parti politik atau gerakan apa pun yang ingin mengalahkan kerajaan pimpinan United Malays National Organisation wajib berkongsi kuasa. Ini hakikat realpolitik.
Apakah yang dibaca ini satu mimpi? Jawabnya tidak. Apa yang ditulis diatas adalah pendekatan pemikiran strategik dalam gerak langkah politik. Inilah yang dipanggil taktik dan strategi. Inilah satu-satunya cara yang membawa kemenangan kepada rakyat Vietnam. Inilah caranya kuasa imperial Anglo-Amerika akan dikalahkan di Iraq dan Afghanistan. Inilah juga pendekatan Hezbullah ketika mengepong zionis Isreal di Lebanon.
Harus kita sedari bahawa United Malays National Organisation sebagai sebuah parti tidak lagi memiliki sokongan ampuh dari orang ramai. Parti ini semakin terpinggir dan semakin terpencil. Lalu timbul persoalan jika gerombolan ini tidak mendapat sokongan kenapa mereka terus berkuasa?
Jawapan kepada soalan ini cukup senang. Gerakan dan parti politik yang cuba menumpaskan gerombolan ini masih lagi dibungkus oleh ego kepartian. Ego kepimpinan. Gagal melihat kepentingan orang ramai lebih penting dari kepentingan diri dan parti.
Berahi untuk mengambil alih kuasa tanpa memiliki pemikiran strategik samalah seperti saekor kerbau ingin memandu Boeing 747. Bercita-cita untuk menjadi kerajaan tanpa memiliki pemikiran strategik samalah seperti ingin naik Haji tetapi tidak menyimpan duit dan tidak memohon pasport. Akhirnya, sila bertanya kenapa agaknya Najib dan Rosmah melanggan Apco?






0 ulasan: to “ PolitiK DaN PemikiraN StrategiK... ”
Post a Comment